Thursday, March 6, 2008

Mimpi Dewi..(^.^)....

Prolog

Seri yang baru saja selesai bermesyuarat dengan lembaga pengarah bersama-sama suaminya meletakkan briefcasenya di seat belakang kereta. Dia sudahpun mengambil keputusan untuk balik ke Kuala Lumpur secepat mungkin selepas tamatnya mesyuarat tadi. Sebagai salah seorang lembaga pengarah dan isteri kepada syarikat perkapalan Kirana Voyage Corp., Seri bertindak dalam bahagian pengurusan sepenuhnya. Sebagai seorang ibu dan juga seorang yang penting dalam syarikat milik suaminya, Seri begitu sibuk dan hampir tidak ada masa menguruskan keluarga terutamanya anak tunggalnya, Dewi.
Dewi berlari-lari anak, terkial-kial mengikut langkah ibunya yang begitu cepat seperti kejarkan sesuatu. Dewi penat dan bosan. Sejak tadi dia hanya duduk di ruang tamu bilik mesyuarat bersama-sama beberapa orang pekerja ibunya.
“Ibu, kenapa kita tak pernah pergi tepi laut? Dewi nak tengok laut”, Dewi bertanya pada ibunya yang sedang sibuk menyusun barang-barang yang lain masuk ke kereta.
“Sayang, ibu dengan ayah dah lewat. Nanti kita pergi ye, sayang”, dalam memujuk, Seri cuba mengambil-hati anak kecilnya itu. Sudah bertahun-tahun Seri tidak ke tepi laut semenjak berkahwin dengan enam tahun dahulu. Entah kenapa kali ini dia mempersetujui mesyuarat tahunan syarikat diadakan di Admiral Marina Clubhouse & Resort ini yang terletak di jeti kapal persiaran di Port Dickson sedangkan dia tidak mahu dekat dengan laut lagi. Demi kepuasan hati para pekerja, Seri bersetuju namun dia tidak mahu tinggal di sini walau semalam pun.
“Dewi pergi sekejap, ibu tunggu kat sini, ye?” Dewi meminta lagi dari ibunya.
Tanpa memandang anak tunggalnya, Seri membalas, “Tak boleh, sayang! Cepat masuk dalam kereta sebelum hujan!”
Dewi diam. Ibu tak pernah memahami Dewi. Ibu selalu begitu. Fikiran Dewi tak diambil kira. Sedangkan Dewi sukakan laut. Dewi nak tinggal di sini dan bersama laut setiap hari. Dewi tak mahu tinggal di rumah. Rumah tak secantik laut.
“Dewi, cepat!” Seri memanggil anaknya dan mulai melangkah ke tempat letak kereta. Anak kecilnya yang baru berumur 5 tahun itu memang banyak kerenahnya. Namun, Dewi sangat pintar dan matang berbanding kanak-kanak sebayanya.
Seri memandang sekeliling dan kelibat Dewi tidak kelihatan. Suaminya masih sedang mengangkat barang-barang menuju ke kereta. Cuaca semakin gelap dan guruh mulai kedengaran. Tidak satupun manusia kelihatan di kawasan jeti ini.
“Dewi!” Seri cuba menyedapkan hati dan memanggil Dewi sekali lagi. Ombak semakin kuat. Melihatkan air yang menjulang tinggi ke udara, Seri tiba-tiba diserang risau yang amat sangat. “Dewi!” sambil berlari ke jeti, dia menjenguk ke dalam laut yang bergelombang.
Topi merah jambu yang dipakai Dewi sepanjang hari kelihatan terapung-apung di permukaan air. Serta-merta, barang-barang di tangan Seri terlepas dari pegangannya.
“DEWI!!!” hampir histeria, Seri menjerit memanggil nama anak tunggalnya. “DEWI!!!” dia menjerit lagi sehingga membuatkan Mikail turut mendengarnya dari tempat letak kereta. Seperti berbau sesuatu yang tidak diingini berlaku, Mikail bergegas mendapatkan isterinya.
“Ab-abang, a-anak kita!” dalam sebak bercampur cemas, Seri memberitahu suaminya sambil menunjuk ke arah topi Dewi yang terapung-apung di atas permukaan air.
“Ya Allah!” Mikail beristighfar. “Biar abang turun!”
“Abang, jangan!” Seri menahan suaminya dari turun ke air untuk menyelamatkan anaknya. “Biar Seri yang turun! Abang tak boleh..,” tanpa meneruskan ayatnya, Seri mulai memanjat pagar jeti.
“Seri, ombak ni kuat. Biar abang yang pergi”, Mikail masih tidak mengalah. Baginya, kedua-dua Seri dan Dewi terlalu penting baginya. Dia tidak sanggup sesuatu yang tidak baik terjadi kepada salah-satu pun.
“Abang tak boleh balik lagi kalau abang turun ke laut!” Seri menempelak dan air matanya hampir melimpah di bibir mata. “Seri tak nak kehilangan abang dan Seri tak sanggup kehilangan anak kita. Biar Seri yang turun!”
Seri melompat ke dalam laut dan Mikail hanya memandang dengan tak terdaya. Dia rasa begitu kalah. Dalam situasi begini dia tak dapat mempertahankan keluarganya hanya kerana itu. Sebagai suami dan ayah, Mikail rasa berdosa dan tidak berguna.
Seri timbul sekali di permukaan air dan memandang suaminya yang masih terpaku di situ.
“Abang, pergi dapatkan bantuan. Biar Seri cari Dewi!” itulah kali terakhir Mikail mendengar suara isterinya. Seri menyelam kembali. Dan itulah kali terakhir Mikail melihat wajah isterinya.
Dewi terkapai-kapai cuba untuk timbul di permukaan air. Setiap kali air memasuki hidung dan mulutnya, dia merasakan kesakitan yang amat sangat. Dia terbatuk-batuk namun semakin tenggelam. Ombak yang begitu kuat melemahkan tubuh kecilnya. Dalam beberapa saat, dia tenggelam ke dalam air laut.
Dewi semakin lemah dan dia tak dapat meronta lagi. Perlahan-lahan, dia mulai tidak sedarkan diri dan tenggelam sedikit demi sedikit jauh ke dasar laut. Penglihatannya semakin kabur. Dia tak dapat bernafas lagi.
Cucu, cucu, jangan tidur. Nenek datang rindukan cucu. Datang ke laut tinggal dengan nenek.
Seperti mimpi, Dewi terdengar suara berbisik di hatinya. Suara itu tidak kedengaran di telinga namun Dewi memahami setiap patah perkataan dengan jelas.
Dalam samar-samar, Dewi lihat segerombolan lembaga seperti sekawanan ikan berenang menuju ke arahnya. Dia tak dapat bergerak lagi. Penglihatannya semakin gelap. Dalam separuh sedar, Dewi melihat seorang wanita berambut hitam dan panjang mayang mengurai tiba di depannya. Di sekeliling wanita itu, berenang sekawan ikan lumba-lumba berwarna putih seperti mutiara kesemuanya. Wanita itu tersenyum pada Dewi dan menyentuh pipinya.
Cucu nenek, Dewi Kirana, nenek datang menjenguk cucu. Cucu datang tinggal dengan nenek di laut. Nenek rindu pada cucu.
Dewi tak lagi rasa sakit di dadanya. Dia mulai dapat melihat dengan jelas. Air yang memenuhi paru-parunya mulai keluar dari hidungnya. Seperti di darat, Dewi bernafas seperti biasa. Wanita di depannya nampak begitu jelas dan kini Dewi mulai dapat melihat keseluruhan tubuh wanita itu yang disaluti fabrik seperti kain berwarna-warni. Di bahagian bawah tubuhnya kelihatan sepasang ekor berwarna biru berkilauan persis seekor ikan.
Cucu, cucu, tinggal dengan nenek. Nenek rindu cucu. Cucu jangan tinggal nenek lagi.
Dewi terasa tangannya ditarik pergi. Serta-merta dia teringatkan ayah dan ibunya.


************************************************************************************







Bab 1

Dewi terkejut dari mimpinya dan segera bangun dari katilnya. Dia berdiri di tepi dinding. Katilnya seperti melemaskannya setiap kali dia bangun dari mimpi itu. Dia sering mengalami mimpi yang sama sejak akhir-akhir ini. Segala-galanya nampak begitu jelas. Segala-galanya terasa begitu benar.
Entah kenapa dia tersenyum kepada dirinya sendiri dan menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Mungkin terlalu banyak menonton filem fiksyen di televisyen, fikir Dewi sendirian.
Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Selalunya di waktu begini dia masih berdengkur tidur dibaluti selimut namun matanya seperti tidak mengantuk lagi. Rakan sebiliknya, Nora masih lagi lena dibuai mimpi. Dewi mengambil keputusan untuk keluar mengambil angin seketika di kawasan luar hostel sekolah.
Tahun ini Dewi sudahpun masuk 17 tahun. Dia akan tamat persekolahan tidak lama lagi. Hatinya agak gelisah. Dewi tak ingin pulang ke rumah. Sejak ibunya hilang di laut, ayahnya pula menyambut seruan Illahi dalam sebuah nahas jalanraya sewaktu Dewi masih belajar di darjah enam. Satu-satunya saudara yang Dewi ada ialah Makcik Lily, sepupu kepada ibunya. Sejak itu, hak penjagaan Dewi diserahkan kepada Makcik Lily yang juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas harta peninggalan arwah ibubapanya. Dewi dihantar ke asrama sejak di tingkatan satu lagi dan sejak itu dia hanya berjumpa dengan Makcik Lily setahun sekali. Wanita itu tak pernah melayan Dewi seperti anak saudara sendiri malah langsung tidak memberikan apa yang sepatutnya diberikan kepada Dewi. Sehingga kini, Makcik Lily dan keluarganya tinggal di rumah keluarga Dewi dan gadis malang itu dihantar ke sekolah berasrama penuh.
Dewi berjalan di susur gajah seorang diri. Selalu juga dia akan berjalan-jalan begini untuk menenangkan fikiran. Selepas kehilangan ayahnya, Dewi tidak lagi periang seperti dulu. Dia menjadi seorang yang pendiam dan hanya berbicara dengan orang yang dikenalinya. Tidak ramai yang ingin menjadi kawannya. Bagi mereka, Dewi ialah seorang gadis pelik yang menakutkan. Jika naik marah, Dewi mampu mencederakan mereka terutama pelajar-pelajar lelaki nakal yang dulunya selalu mengusik dan mengejeknya.
Dewi terasa sesuatu bergerak-gerak di dalam poket jaketnya. Serta-merta dia menyeluknya dan kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya yang lupa diletakkan di dalam laci sebelum dia tidur tadi. Di skrin tertera nama Aisha, anak Makcik Lily yang paling rapat dan yang paling baik dengannya sejak mereka kecil lagi. Aisha bukan lah seperti ibunya yang tamakkan harta dan tidak bertanggungjawab. Sejak kecil, Aisha tidak setuju dengan tindakan ibunya menghalau Dewi keluar dari rumah keluarganya sendiri dan kemudian enggan memberikan Dewi hak yang sepatutnya diberikan kepada gadis malang itu.
“Hello, adik”, Dewi menjawab panggilan Aisha dengan mesra. Dia memang gembira bila Aisha menelefon. Bagi Dewi, Aisha ialah satu-satunya ahli keluarganya di dalam dunia ini selepas dia kehilangan kedua-dua ibubapa.
“Kak Dewi, jangan balik rumah!” dalam berbisik bercampur cemas, Aisha terus saja memberitahu tujuannya menelefon kakak sepupu kesayangannya.
“Kenapa ni, Aisha?” Dewi bertanya dengan keliru.
“Mama nak bawak kakak naik Superstar Leo minggu depan. Kakak jangan balik! Mama mesti ada rancangan yang tak baik tapi Aisha tak tahu. Semua ahli lembaga pengarah akan adakan hari keluarga atas Superstar Leo dan diaorang akan belayar ke Greece. Aisha rasa tak sedap hati. Mama terpaksa bawak kakak sebab semua ahli lembaga pengarah nak kakak turut serta sebab kakak kan pemegang syer terbesar dalam Kirana Corp. Kita kenal Mama tu kakak”, dalam panik, Aisha mendedahkan rancangan ibunya untuk Dewi.
“Aisha, tak ada apa-apa akan berlaku pada kakak. Kan kakak pandai jaga diri-sendiri selama ni”, Dewi cuba menenangkan hati adik sepupunya.
“Kakak bagitau la kat Mama yang Kakak tak nak ikut. Kakak bagitau yang kakak nak balik kem tentera semula”, Aisha cuba memberikan cadangan untuk Dewi.
Dewi terdiam. Dia tahu pastinya Makcik Lily sudahpun membuat rancangan untuk mempergunakan dirinya demi mendapatkan faedah. Setakat ini, Dewi masih lagi pemilik sah Kirana Voyage Corp. dan Makcik Lilynya sangat memerlukan dirinya hadir di beberapa pertemuan penting. Lembaga pengarah akan lega dan rasa selamat berada di dalam syer dengan adanya Dewi.
“Aisha pun tahu yang kalau Mama Aisha dah tentukan begitu, kita takkan boleh membantah”, tanpa sedikitpun rasa risau atau takut dengan amaran yang telah diberikan Aisha tentang ibunya sendiri, Dewi mahu menerima berita dan pergi ke kapal persiaran Superstar Leo sebagai cabaran.
“Kakak..,” Aisha mulai sebak dengan keputusan kakak sepupu kesayangannya itu. Aisha kasihankan Dewi yang begitu malang sejak kecil. Tidak cukup dengan kehilangan ibubapa, gadis itu diseksa dan dipinggirkan ibunya sendiri yang begitu tamakkan harta. Kini, Aisha tahu ibunya bakal mempergunakan Dewi sekali lagi untuk kepentingan diri dan dia juga berbau perkara yang tidak elok bakal berlaku pada kakak sepupunya. Dia tahu ibunya seorang yang kejam dan jahat. Namun, sebagai anak dia tidak punya banyak pilihan selain memberi amaran kepada Dewi demi keselamatan dirinya.
“Jangan la nangis, adik. Kalau Aisha risaukan kakak, apa kata kalau Aisha ikut sekali?” Dewi memujuk adik sepupunya apabila mendengar suara tangisan gadis itu.
“Aisha takut Mama nak cederakan kakak..,” dalam tersedu-sedan, Aisha menyuarakan kebimbangannya yang amat sangat.
“Selagi ada Aisha di sisi Kak Dewi, tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan”
“Betul ke kakak nak ikut naik Superstar Leo tu?”
“Kan kakak dah kata, kalau Aisha selalu ada di sisi kakak, kakak takkan apa-apa”.




(^_^)

Bas sekolah Akademi Seri Teratai yang membawa 40 orang pelajar seniornya berhenti di hadapan Langkawi Aqua World yang merupakan akuarium terbesar di Asia. Dewi turun bersama-sama para pelajar yang lain dan berdiri di hadapan sebuah tugu berbentuk penyu.
“Mak aih, punya la mengantuk!” dalam menguap, teman baik Dewi yang juga rakan sebiliknya, Nora berkata padanya.
“Dah satu jam awak tidur, takkan la mengantuk lagi?” Dewi memperli rakannya itu dalam acuh tak acuh.
Nora mencemik.
“Dewi Kirana! Nora Natasha! We’re going in now!” guru Biology mereka, Miss Graham, memanggil mereka. Wanita Australia itu menggelengkan kepala apabila Dewi lalu di hadapannya. Dewi memang suka menimbulkan masalah namun Miss Graham pandai melayan anginnya supaya gadis itu sentiasa fokus di dalam subjeknya. Ternyata Dewi amat menyukai Biologi dan terutamanya di bidang ‘marine biology’. Dia di antara pelajar terpandai di sekolah dengan keputusan yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan yang dijalankan dan Dewi memang menjadi salah seorang pelajar yang disayangi guru-guru dan digeruni mereka kerana kepandaiannya.
Miss Graham mulai menerangkan tentang struktur pembinaan yang terdapat di ‘Aqua World’ ini. Dewi langsung tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh guru Biologi itu sebaliknya dia terus berjalan melihat hidupan laut yang berada di luar kaca tebal ini. Entah kenapa dia rasa begitu tertarik dengan hidupan-hidupan laut ini. Dia seperti pernah berada di suatu tempat yang serupa. Malah, dia merasakan seperti dia begitu arif dengan semua ini.
“Cubalah jangan berjalan laju-laju. Saya ni penghidap asma yang malang”, dengan termengah-mengah Nora sampai di sebelah Dewi yang sedang mengamati seekor ikan yang berupa pelik.
“Macamana ikan boleh bernafas di dalam air? Berapa lama seorang manusia normal boleh bernafas di dalam air?” Dewi berkira-kira sendirian sambil bertanya kepada Nora tanpa memandangnya.
“Mungkin sama macam ikan boleh menahan nafas di darat”, Nora memberikan jawapan dengan tujuan mengusik rakan baiknya itu.
Dewi masih lagi asyik dengan pengamatannya dan kini melihat beberapa hidupan laut yang lain.
“Dewi, alang-alang kita dah agak jauh dari group sekolah kita, apa kata kalau kita pergi lunch?” Nora mulai bosan dan berasa lapar berada di dalam terowong akuarium ini.
“Sekejap..,” Dewi menyuruhnya menunggu kerana dia masih ingin melihat banyak lagi hidupan laut yang belum pernah dilihatnya secara dekat begini.
Dewi ternampak seekor jerung putih yang saiznya sebesar seekor lembu dewasa berenang di atas permukaan kaca aquarium. Dia agak teruja melihat binatang buas yang digelar mamalia ini kerana sifatnya yang melahirkan anak.
“Dewi! Dewi, sinilah!” tiba-tiba saja Nora jadi cemas dan menarik Dewi ke tepi apabila terpandang ke depan.
“Apa ni? Awak takutkan Miss Graham ke? Jangan risau. Miss Graham takkan marah kita berdua”, Dewi agak rimas dengan sikap mudah panik rakannya itu namun dia tidak mudah melenting. Baginya, sikap Nora yang merimaskannya itulah yang membuatkan dia ingin berada dekat dengan gadis ini. Nora seperti membuat dia bangun pagi dengan senyuman setiap hari.
“Bukan! Itu kan Ryan Syahriman? Dia tengah pandang kat sini!”
Dewi memandang ke hadapan dan nampak sekumpulan pelajar lelaki dari sekolahnya sedang berkumpul di tepi sebuah kaunter pameran dan Ryan Syahriman, pelajar yang menjadi kegilaan ramai kerana darah kacukan Inggeris-Melayunya sedang tersenyum memandang ke arah dia dan Nora.
“Kenapa dengan mat saleh celup tu?” Dewi sengaja mengejek perwatakan Ryan. Dia tidak mahu disukai atau menyukai orang lain kerana keadaan dirinya yang berbeza. Kebanyakan orang tidak dapat menerima sifat pelik yang ada pada diri seorang gadis sepertinya. Selama ini, dia hanya berkawan dengan Nora kerana gadis itulah satu-satunya manusia yang dapat menerima perbezaan pada dirinya.
“Tak baiklah. Awak ni bertuah Ryan sukakan awak. Kalau dia sukakan saya, mesti saya hargai dia dengan sepenuh hati”, Nora memarahi sikap kawannya yang lebih sukakan kesunyian daripada membenarkan diri disayangi oleh seseorang. Terlalu banyak kehilangan di dalam kehidupannya. Dewi tidak lagi berani membenarkan rasa sayang itu bertambah lagi. Dia tidak sanggup menerima tamparan lagi
“Kalau awak suka, awak pergilah berbual-bual dengan Ryan. Saya duduk kat sini..,” Dewi masih berpura-pura dihadapan sahabatnya kerana bimbang jika dia menunjukkan perasaannya yang sebenar, semua orang akan yang tahu yang sebenarnya dia juga seorang gadis lemah yang ingin disayangi oleh orang lain.
“Suka hati awak!” Nora berkata sambil mengangkat kaki untuk berlalu.
Sebaik saja Nora pergi, Dewi mulai rasa sedih. Kadang-kadang dia rasa menyesal tidak berterus-terang dengan satu-satunya sahabat yang dia ada di sekolah ini. Nora begitu baik dengannya dan begitu mengambil-berat tentang dirinya setiap waktu. Dewi tunduk dan menyalahkan diri-sendiri kerana menjadi begitu mementingkan diri sendiri dengan Nora.
“Suka jerung putih ke? Saya lebih sukakan jerung tukul sebab rupa dia yang unik”, Dewi ditegur oleh suara seorang lelaki di sebelahnya.
Dia segera memandang kelibat lelaki yang bersuara di sebelahnya dan begitu terkejut apabila melihat Ryan Syahriman sedang tersenyum memandangnya.
Dewi segera mengalihkan pandangannya ke dinding kaca aquarium semula. Dia rasa kurang selesa apabila Ryan berada di sebelahnya begini. Dia tidak mahu orang ramai membuat andaian yang dia dan Ryan mempunyai apa-apa hubungan. Dia tidak mahu begitu. Cukuplah sekadar dengan keadaan dirinya begini, dia tidak mahu lagi menambah satu lagi penderitaan dalam hidupnya.
“Kalau I ajak pergi makan, you nak tak?” Ryan masih tidak mengalah walaupun Dewi tidak memberi apa-apa reaksi.
Dewi diam membisu. Baginya, Ryan seperti kebanyakan budak lelaki yang ingin mempermainkan dirinya. Dewi tidak faham dengan semua kekejaman yang selalu berlaku di sekelilingnya malah kadang-kala semua itu berlaku ke atas dirinya sendiri dan setiap kali, dia berasa sangat terseksa. Sebab itu, untuk mengelakkan dirinya terluka lagi, dia lebih suka sendirian dan dia hanya percayakan sahabat baiknya Nora di sini.
You don’t talk much, didn’t you?” Ryan bertanya lagi kepada Dewi yang tunduk membisu. Ryan sudah menyukai Dewi sejak gadis itu di tingkatan satu lagi. Dewi memang sukar bergaul dengan sesiapa dan setiap hari pasti dia dipanggil pengetua kerana terlibat dalam pergaduhan dengan pelajar-pelajar lelaki. Namun, di sebalik semua itu Ryan sangat suka melihat wajah comel Dewi yang sukar tersenyum namun sangat menyenangkan hati setiap kali dia memandangnya.
Dewi masih lagi enggan bersuara.
You tak suka English kan? I know. Miss Graham ada beritahu I..,” Ryan entah kenapa tersasul membongkarkan rahsianya di hadapan Dewi.
Dewi secara automatik memandang Ryan yang masih lagi belum menyedari yang dia telah membongkarkan rahsianya yang selalu bertanyakan perihal Dewi dari Miss Graham.
“Ah-er..actually..I-er..”, Ryan mulai sedar yang dia terlepas cakap dan kini pasti menimbulkan syak wasangka Dewi.
Dewi terasa geli hati dengan wajah Ryan yang kelihatan begitu lucu apabila cuba menjelaskan keadaan dirinya. Sedikit sebanyak, dia tidak merasakan yang Ryan bukanlah seorang pemuda yang jahat. Ada keikhlasan terpancar di wajahnya apabila dia mulai panik membongkarkan rahsianya tadi.
Dewi ingin sekali mengatakan kepada Ryan yang dia tidak menyalahkan pemuda itu kerana merisik tentang dirinya dari Miss Graham. Mungkin Ryan mempunyai rasa ingin tahu terhadap dirinya. Mungkin Ryan begitu ikhlas ingin mengenali dirinya, seperti yang Nora katakan.
Dewi menarik nafas. Dia tekad untuk bercakap dengan Ryan seperti seorang kawan. Baru sahaja dia tersenyum dan ingin memandang Ryan di sebelahnya, sekumpulan ikan lumba-lumba yang melalui kawasan akuarium di hadapan Dewi memberhentikan tindakannya. Sekilas, Dewi terpandang kumpulan ikan itu seperti memberi hormat kepadanya.
Entah kenapa, kepalanya terasa berdenyut-denyut. Mimpinya itu datang kembali di dalam kotak fikirannya dan kali ini wajah perempuan yang ditemuinya setiap malam di dalam mimpinya nampak begitu jelas. Perempuan itu begitu jelita namun matanya seputih awan di langit. Dia tersenyum kepada Dewi.
Serta-merta Dewi terasa lemah. Kakinya tidak dapat bertahan lagi dan pandangannya terasa berpinar-pinar. Seketika kemudian, dia jatuh dan tidak dapat mengingati apa-apa lagi.


(^_^)


“Awak tahu tak apa yang Ryan buat?” Nora bertanya kepada Dewi dengan begitu gembira. “Dia cepat-cepat sambut awak supaya tak jatuh ke lantai. Lepas tu, dia cepat-cepat dukung awak, bawak awak ke bilik bantuan kecemasan.”
“Saya tak tahu awak gembira sangat bila saya sakit,” Dewi merungut sambil memicit dahinya yang masih terasa berdenyut sejak dia bangun dari tidur sebentar tadi.
“Oh, sorry! Saya tak maksudkan macam tu” Nora tersengih-sengih memujuk Dewi.
Dewi mencemik. Namun, dia lega kerana Nora masih berada di sisinya walaupun kini dia terbaring di wad hospital Langkawi kerana tidak sedarkan diri sejak terjatuh semalam.
“Saya minta maaf sebab dah rosakkan percutian awak..,” Dewi meminta maaf dari Nora dengan penuh rasa bersalah. Kerana dia, percutian Nora di Pulau Langkawi sudahpun dibazirkan dengan menemani dia di hospital.
“Awak tak menyusahkan langsung. Saya lagi happy dapat temankan awak kat sini sebab saya tak percayakan nurse kat pulau macam ni. Semuanya jenis yang tidak pandai layan pesakit and not properly trained. Sebab tulah diaorang kerja kat sini je”.
Dewi terdiam mendengarkan kata-kata Nora. Dia agak terharu dengan layanan Nora dan sekarang dia sangat rindukan ibu dan ayahnya. Jika mereka masih hidup, pastinya Nora tidak perlu menemani dirinya sebegini dan terlepas berbagai-bagai perkara menarik sepanjang percutian ini. Dewi tidak menyangka yang dia akan dilanda sakit kepala yang amat sangat begitu. Malah, dia tidak tahu apakan punca dia pengsan secara tiba-tiba.
“Nora, awak tahu tak saya sakit apa?” walaupun takut namun Dewi memberanikan diri untuk bertanyakan masalah penyakitnya dari Nora.
“Oh, awak jangan risau. Doktor kata awak diserang hyper-tension dan hilang banyak tenaga. Kan saya selalu pesan mesti makan ikut waktu dan jangan asyik membaca je. Awak boleh mati keletihan kalau terus macam tu..,” Nora mulai membebel kepadanya tetapi Dewi begitu lega mendengar jawapan dari Nora. Dalam hatinya, dia memanjatkan seribu kesyukuran kepada Illahi kerana masih membenarkan dia hidup di dunia dengan sihat sejahtera.
“Awak nak makan? Tadi Ryan datang bawakan awak bubur ayam..”
Dewi agak teruja apabila mendengarkan perihal Ryan dari Nora. Malah, dia rasa begitu riang apabila menerima berita yang Ryan juga hadir melawatnya di sini. Namun, Dewi agak kecewa kerana pengsan sewaktu bersama Ryan semalam di Aqua World. Dia entah kenapa berharap supaya dapat bertemu pemuda itu lagi dan ingin sekali mengulangi saat semalam mereka bertemu.
“Janganlah sedih. Ryan mesti sibuk dengan kerja-kerja amal yang sekolah kita buat tapi dia mesti akan singgah kat sini waktu tengahari nanti.”
Dewi buat-buat acuh tak acuh mendengar kata-kata kawan baiknya itu namun dia tersipu-sipu malu sendirian apabila Nora seperti dapat membaca fikirannya.
“Dahlah. Saya nak keluar dari sini sekarang jugak!” Dewi dengan kasar bangun dari katil dan ingin turun sebelum Nora menahannya.
“Eh, tak boleh, tak boleh! Doktor still tunggu ujian darah awak dari makmal kat Penang dan sebelum keputusannya sampai, awak tak dibenarkan ke mana-mana!” Nora tegas menahan Dewi.
Dewi merengus. Ada-ada saja kawan baiknya ni.



************************************************************************************



Bab 2

Dewi berjalan seorang diri di taman hospital sambil mendengar lagu yang dimainkan I-Pod Nano pemberian Nora kepadanya di hari jadinya tahun lepas. Hari ni masuk hari kedua dia berada di hospital besar Pulau Langkawi ini dan dia kurang pasti berapa lama lagikah dia harus berada di hospital ini. Kata doktor, keputusan ujian darahnya akan tiba lewat petang ini. Jika tidak ada apa-apa masalah, dia akan dibenarkan keluar dari hospital dengan segera.
Nora balik ke hotel penginapan rombongan sekolah malam semalam dan Dewi menghabiskan masa berbaring di katil dan dia langsung tidak dapat melelapkan matanya sepanjang malam. Dia asyik terfikirkan peristiwa yang berlaku di ‘Aqua World Langkawi’ semalam. Masih terbayang-bayang difikirannya kawanan ikan lumba-lumba yang telah menyebabkan dia pengsan serta-merta apabila terpandangkan mereka. Dewi rasa keliru. Dia sangat pasti yang kawanan ikan lumba-lumba itu telah memberikan dia satu isyarat samada untuk memberitahu dia sesuatu ataupun dengan tujuan ingin mencederakan dirinya sehingga menyebabkan dia pengsan. Namun, bila akalnya mulai berfikir secara waras, dan secara logik, tidak mungkin seseorang dapat menerima isyarat daripada kawanan spesis mamalia seperti ikan lumba-lumba. Mereka mempunyai isyarat tersendiri yang hanya dapat dibaca oleh deria yang dimiliki oleh spesis mereka sendiri. Ianya agak mustahil untuk difahami oleh manusia biasa.
“Kenapa awak garu kepala macam tu?” Nora muncul secara tiba-tiba di hadapan Dewi dan bertanya dengan begitu hairan kepada kawan baiknya ini.
Dewi diam lagi. Dia tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan kepada Nora tentang apa yang dialaminya sekarang ini. Mungkin Nora akan mentertawakannya jika dia cuba memberitahu apa yang dia rasai. Atau, mungkin Nora akan berasa takut apabila mendengar perkara yang begitu tidak logik sebegitu.
“Awak buat apa kat sini? Doktor dah dapat keputusan blood test awak. Jom kita pegi tengok! Cepat-cepat awak dapat keputusan blood test tu, cepat-cepat kita boleh pegi jalan-jalan kat Langkawi ni”, Nora membawa berita yang agak melegakan Dewi.
“Bagus jugak tu. Saya tak sabar nak balik hostel ni..,” Dewi setuju dengan ajakan Nora dan terus menarik tangan sahabatnya itu pergi.
“Orang nak jalan-jalan, dia nak balik pulak!” Nora sempat merungut dengan perangai pelik rakannya sebelum mereka meninggalkan taman hospital ini, namun bagi Nora, Dewi merupakan penghibur hatinya dan tanpa kehadiran Dewi di sisinya, jiwanya akan terasa kosong. Walau sepelik manapun Dewi bagi dirinya, namun Nora sudah berjanji pada dirinya sendiri yang dia tetap akan menjaga sahabatnya itu sampai bila-bila.
Mereka berdua terus saja bergegas ke bilik doktor pakar yang merawat Dewi sewaktu dia dikejarkan ke hospital semalam. Apabila sampai saja di depan bilik doktor, Nora berhenti.
“Awak nak saya masuk sama or awak nak saya tunggu kat luar ni?” Nora bertanyakan pendapat Dewi untuk menerima keputusan ujian darahnya.
“Takkan keputusan tu teruk sangat kot?” Dewi berkata sendirian.
“Ish, awak ni. Masuk je la!” Nora menempelak kepada Dewi dan menolaknya ke pintu. Dewi masih agak lemah terus saja tergelecah ke depan namun pintu bilik doktor ini terbuka secara tiba-tiba. Dewi yang hampir terjatuh ke lantai dengan pantas disambut oleh seorang lelaki yang tak dikenali. Dia cepat saja menyambut tubuh Dewi dan memeluknya dengan kemas.
Dewi memandang penyelamat keduanya dan perkara pertama yang dilihatnya ialah sepasang mata hazel yang redup memandang tepat ke matanya dengan begitu tajam. Dengan spontan, Dewi tunduk dan melepaskan dirinya dari pelukan lelaki ini.
“Minta maaf ye!” Nora cepat saja meminta maaf daripada lelaki yang tak dikenali ini. “Er..terima kasih sebab tolong er..sambut..er..tolong kawan s-saya..!” walaupun cemas, Nora cuba mengawal emosinya dan berterima-kasih pada lelaki ini.
“Takpe!” dengan tersenyum manis, lelaki ini membalas pada Nora.
Hensemnya! Secara tidak sedar, Dewi menilai lelaki ini di dalam hatinya. Dengan tubuh tinggi lampai, wajah yang tampan dan sepasang mata begitu, lelaki ini memang menarik perhatian sesiapa saja yang memandang dirinya. Dewi mengamati setiap inci wajah lelaki ini tanpa menyedarinya. Sepasang mata hazel yang redup milik lelaki ini membuatkan wajahnya kelihatan kebudak-budakan dengan sepasang hidung mancung dan bibir yang kelihatan merah basah dan dagunya yang runcing membuatkan Dewi leka seketika memandang ciptaan Allah S.W.T ini.
“Dewi, awak ni!” dalam berbisik, Nora menegur perlakuan rakannya namun Dewi masih tenggelam dalam dunia sendiri dan tidak menyedari apa-apa.
Nora yang perasan dengan perlakuan Dewi mulai mencubit lengan rakannya supaya sedar semula di dunia realiti. Dewi tersentak dan tunduk kembali.
“Sorry, ye?” Nora meminta maaf sekali lagi daripada lelaki ini.
“It’s okay!” sambil berlalu dengan senyuman, lelaki yang tak dikenali itu membalas.
Dewi memerhatikannya pergi. Sebelum hilang dari pandangan, lelaki itu sempat berpaling dan kali ini tersenyum sambil memandang tepat ke mata Dewi yang curi-curi melihatnya dari belakang sejak dia berlalu tadi.
Dewi kaku.
“Awak ni!” Nora tiba-tiba memukul bahu Dewi dan memarahinya.
Dewi memandang sahabatnya baiknya yang tiba-tiba saja marah-marah tak tentu pasal.
“Nape awak nak main mata dengan laki tu?” Nora memarahi Dewi sambil menghentak-hentak kakinya ke lantai. “Kesian Ryan tau! Awak tak boleh buat Ryan macam ni!” dia menyambung dan kali ini menyebut nama Ryan.
“Ryan? Kenapa dengan Ryan?” hanya sengaja suka mengusik Nora, Dewi berpura-pura tidak faham dengan kemarahan rakannya itu.
“Awak ni! Awak ingat Ryan tu barang mainan ke? Barang yang boleh awak main-main? Boleh buang bila tak nak?” Nora begitu serius mempertahankan Ryan.
“Kenapa? Tak boleh ke?” Dewi masih lagi ingin mengusik.
“Dewi Kirana! Awak ni memang!” sambil marah-marah dengan perilaku manjanya itu, Nora menempelak kepada Dewi.
Dewi geli-hati melihatkan aksi marah Nora namun merasa bersalah apabila mulai melihat air mata bertakung di bibir mata gadis comel ini.
“Salah ke saya menikmati hasil ciptaan Allah? Saya tengok je. Takkan tak boleh?” demi memujuk Nora, Dewi sengaja berkata begitu untuk menyedapkan hati kawannya yang begitu manja.
“Mana boleh! Mulai sekarang awak boleh tengok Ryan je! Tau tak?” dengan tegas, Nora memberi amaran kepada Dewi. “Tau tak ni?”
“Tau!”
Dewi tersengih dengan kerenah Nora sambil melangkah masuk ke bilik doktor-doktor pakar Hospital Besar Langkawi. Doktor Shakir yang merawat aku semalam pastinya dah menunggu di ofisnya dengan keputusan blood test aku. Apa la agaknya sakit aku ni sampai kena ada blood test macam ni? Dewi berkira-kira sendiri sambil masuk ke ofis Doktor Shakir sendirian. Hm..by the way, lelaki tadi memang..hmm..takpelah.

(^.^)

Comelnya! Macam anak patung! Isa berkata sendirian di dalam hatinya sebaik saja gadis itu hilang dari pandangannya. Dengan potongan rambut pendek ala bob-cut namun sedikit berserabai, gadis yang di peluknya secara tidak sengaja tadi nampak begitu comel di matanya. Dengan gaya blur yang selamba dan dari cara gadis itu merenungnya tadi, Isa rasa gadis itu sangat menarik di matanya. Dewi! Macam pernah dengar nama tu tapi kat mane ye? Comel betul orangnya! Tapi, ish! Macam budak sekolah je. Tak patut aku ni pikir bukan-bukan.
“Kenapa lama sangat kat dalam tu?” lamunan Isa dikejutkan oleh suara isterinya yang sedang menunggu di tepi kereta mereka berdekatan dengan kawasan bilik doktor pakar tadi.
Tengku Suhanna berdiri di tepi kereta BMW 7 Series milik suaminya ini sambil mengipas wajahnya dengan sekeping kertas suratkhabar yang dibacanya sambil menunggu Isa di luar bilik doktor.
“Kenapa tak duduk dalam kete je? Kan panas ni?” Isa bertanya sambil berlalu ke seat pemandu.
You nak suruh I mati ke duduk dalam kete lama-lama?” Tengku Suhanna terus saja menghamburkan kemarahannya kepada suaminya secara tiba-tiba.
I’m so sorry tapi I kan nak amik medical statement untuk sailing next month. You yang nak ikut jugak tadi..,” Isa agak terusik dengan kemarahan isterinya tetapi masih lagi dapat bersabar dengan perangai panas-baran Tengku Suhanna itu.
You ni sailing je siang malam. You ingat I ni apa kat rumah tu? Tunggul kayu?” Tengku Suhanna sengaja mengundang pergaduhan di tempat awam begini demi melepaskan amarahnya kepada suaminya yang sudah lama dipendam. Selama 5 tahun mereka mendirikan rumah-tangga, Tengku Suhanna tidak pernah mengecapi kebahagiaannya dengan suaminya. Seringkali dia ditinggalkan kerana pekerjaan Isa sebagai jurutera kapal pelayaran dan jika ada masa terluang pun, ianya langsung tidak dihabiskan untuknya. Sebaliknya, Isa lebih suka bersendirian ataupun menghabiskan masanya bersama keluarga dan kawan-kawan. Dirinya seringkali kesunyian.
“Suhanna, kan I keje ni..,” Isa cuba memujuk isterinya yang mulai naik minyak kerana perkara kecil begini.
“Tak cukup ke apa yang kita ada kat atas darat ni? Apsal pulak you kena belayar jauh-jauh? Apa kita ni dah jatuh miskin ke?” Tengku Suhanna masih tidak berpuas-hati dengan reaksi suaminya terus marah-marah.
“Suhanna, I dah lewat ni. Lepas ni I ada meeting kat port. So, kita balik dulu la, ok?” dengan sabar, Isa memujuk isterinya. Kalau nak diikutkan hati, mahu saja dia tinggalkan saja Tengku Suhanna di sini. Anak raja seperti Tengku Suhanna memang tidak tahu bagaimana untuk menghormati orang lain tetapi mengenangkan orang tua-tua dan keluarga, Isa terus saja bersabar. “Sue, please?” kali ini Isa menjatuhkan egonya dan merayu pada isterinya.
Dalam membentak, Tengku Suhanna membuka pintu kereta di sebelah seat pemandu dan masuk lalu menutup pintu kereta dengan kuat.
Isa mengeluh. Dia membuka pintu kereta dan sewaktu dia menunduk untuk masuk, suara seorang gadis menarik perhatiannya menyebabkan dia terhenti seketika.
“Ha, amik ni!”
“Aduh, sakitlah! Dewi awak ni jahatlah!” seorang gadis berambut coklat, panjang mayang mengurai di paras atas belakang menempelak dengan kuat sambil berlari dengan laju, seperti melarikan diri dari sesuatu.
Dewi!
“Awak kata doktor dah sampai! Mananye? Tadi tolak saya ek? Meh saya tolak awak pulak ye?” gadis yang ditemuinya di depan bilik doktor pakar tadi mengejar gadis berambut panjang itu sambil melaung padanya. Mereka berkejar-kejaran dan begitu menggelikan hati sesiapa yang memandang.
Isa memerhatikan gadis yang dikenalinya dengan nama Dewi itu. Dewi. Senyumannya membuatkan aku rasa tenang dan bahagia. Macam aku dapat lepaskan diri daripada semua bebanan dengan mudah. Macam dia ada satu kuasa yang boleh buat aku rasa gembira.
You nak tunggu sampai bila ni?” suara Tengku Suhanna mengejutkannya dari lamunan.
Isa menarik nafas panjang. Dia redha dengan kehidupannya sekarang dan walau seteruk manapun, dia tetap harus bersabar dengan segala-galanya dan mudah-mudahan ada hikmah di sebalik semuanya.


(^.^)

Ryan berjalan menuruni tangga chaletnya bersama dua lagi rakan sebiliknya menuju ke restoren makanan laut di resort ini. Mereka akan makan malam bersama guru-guru pengiring dan juga beberapa orang jemputan penting dari sekitar Pulau Langkawi ini sebentar lagi.
“Ryan!” dari jauh pelajar yang paling seksi dan yang paling tak disenangi Ryan, Marissa, memanggil namanya dan terus saja datang mendapatkannya.
Marissa memeluk lengan Ryan dengan manja dan menariknya sedikit jauh dari rakan-rakannya.
“Ryan, why don’t you sit with me for the dinner tonight?” Marissa mengajak Ryan duduk bersamanya sewaktu makan malam nanti.
Ryan tersenyum namun hatinya rasa gelisah. Di hatinya tertanya-tanya samada Dewi akan berada di restoren sebentar lagi ataupun tidak. Petang tadi, Dewi sudah dibenarkan pulang dari hospital.
Hey, Ryan! Your goddess here!” rakan-rakan Ryan tiba-tiba mengusiknya apabila dia dan Marissa memasuki kawasan restoren makanan laut yang diberi nama Perahu ini.
Ryan memandang ke meja-meja yang mulai diduduki oleh para pelajar yang menyertai percutian ke Langkawi ini. Dia mencari-cari wajah kelibat Dewi dan kembar siamnya, Nora di kalangan semua orang di situ. Dewi dan Nora sentiasa bersama setiap masa. Jika dia ternampak kelibat Nora, pastinya Dewi akan berada di situ juga.
Seketika kemudian, dia ternampak Dewi dan Nora sedang bertolak-tolakan antara satu sama lain, berebutkan sebuah kerusi di sebuah meja makan yang tersedia untuk majlis makan malam ini. Hati Ryan berbunga-bunga.
“Marissa, will you excuse me..?” Ryan meminta diri dari Marissa.
“Huh?” Marissa pelik dengan permintaan Ryan. Nak pegi mana ni? Aku dah make-up cantik-cantik, pakai baju hot macam ni pun nak blah jugak ke? Takkan la! Walaupun di dalam hati Marissa merasa begitu marah tetapi nak tak nak dia terpaksa berpura-pura baik di hadapan Ryan yang menjadi pujaan hatinya sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Ryan berlalu dari Marissa dan memberanikan dirinya mendekati Dewi sekali lagi.














Bersambung...^_^